Saturday, November 26, 2016

INDUSTRI FRANCAIS DI MALAYSIA

PENGENALAN

Pada masa kini, perniagaan jenis francais adalah sangat dikenali dan semakin diterima oleh kebanyakkan negara-negara di dalam menjadi sebagai pemangkin atau penyumbang utama terhadap peningkatan ekonomi negara. Perkataan Francias adalah berasal dari bahasa Anglo-French iaitu kata dasar “Franc” atau “Franchising” yang bermaksud PERCUMA. Pemilik perniagaan digelar” Francaiser” (Franchiser) dan peniaga yang menggunakan model dan nama perniagaan Francaiser digelar,” Francaisi” (Franchisee). Francais bermaksud satu bentuk pemasaran atau pengagihan di mana sebuah syarikat pemberi francais (francaisor) memberi kebenaran, hak atau keistimewaan kepada seseorang individu atau syarikat pemegang francais (francaisi) untuk menjalankan perniagaan mengikut tatacara yang ditentukan, dalam jangkamasa tertentu, dalam arahan-arahan kerja yang ditentukan dan pada lokasi yang telah ditentukan.

Rajah 1 dibawah merupakan contoh-contoh syarikat yang menjalankan perniagaan francais.



Rajah 1: Jenis-jenis Perniagaan Francais

SEJARAH PEMBANGUNAN INDUSTRI FRANCAIS PADA PERINGKAT GLOBAL DAN MALAYSIA

SEJARAH FRANCAIS DI PERINGKAT GLOBAL

Sejarah perkembangan francais di dunia menjadi bukti bahawa bentuk francais yang sedia ada pada saat ini merupakan pengembangan daripada sistem francais yang telah diterokai sejak tahun 1850-an dan mula berkembang tahun pada 1950-an serta 1960-an di Amerika Syarikat. Latar belakang dan matlamat daripada sistem ini adalah supaya barangan dan perkhidmatan yang dikeluarkan dapat diedar dan dijual ke seluruh bahagian lainnya.
           
Bentuk francais pertama yang paling sederhana adalah format perniagaan yang dipelopori pada sekitar tahun 1850-an oleh Singer Sewing Machine Company. Isaac Singer sebagai pembuat mesin jahit telah memperkenalkan sistem francais untuk mengembangkan dan meningkatkan pengeluaran mesin jahitnya. Walaupun usaha yang dilakukannya tidaklah berjaya, akan tetapi ia menjadi orang pertama yang mengenalkan kepada dunia perniagaan tentang format perniagaan francais ini di Amerika Syarikat.

Usaha Isaac Singer ini diteruskan oleh Jhon Styth Pemberton yang lebih berjaya menggunakan format francais untuk mengembangkan syarikat minuman Coca Cola. Namun, sumber lain menjelaskan bahawa yang mengikuti jejak Isaac Singer bukanlah Coca Cola, tetapi sebuah industri automotif di Amerika Syarikat, iaitu General Motors Industry, sebuah syarikat reka bentuk dan perkilangan yang dibina pada tahun 1897.

Sistem francais mula diminati dan dipelopori oleh syarikat-syarikat berasaskan makanan segera (fast food). Sistem francais moden makanan segera telah diperkenalkan pada 1935 oleh A&W Root Beer yang ketika itu dimiliki oleh Howard Deering Johnson dan Reginald Spragu. Mereka telah mencetuskan idea untuk memasarkan makanan segera mereka secara sistem francais, dimana pengelola restoran boleh menggunakan jenama, pembekal, rekabentuk logo, dalaman dan konsep sebagai pertukaran yuran yang dibayar. Tahun 1953 menyaksikan restoran makanan segera McDonalds yang diasaskan oleh adik beradik Dick dan McDonald turut menggunakan format francais dalam mengembangkan lagi industri makanan segera. Tahun 1990 telah menyaksikan industri francais semakin berkembang terutamanya di Amerika Syarikat dan terus meluas ke pelbagai negara. 

SEJARAH FRANCAIS DI MALAYSIA

Malaysia antara negara yang turut menerima tempias daripada perkembangan dan penerimaan orang ramai terhadap industri ini. Kajian yang dilakukan daripada sumber Internet mendapati perniagaan francais di Malaysia bermula pada tahun 1960-an menerusi syarikat-syarikat seperti Singer, syarikat kasut BATA, perhotelan, syarikat-syarikat minyak dan automotif. Tahun 1970-an dan 80-an telah menyaksikan pertumbuhan pesat industri ini dimana restoran-restoran makanan segera seperti KFC, Pizza Hut, A&W dan McDonalds mula bertapak di negara ini.

Perniagaan secara francais di Malaysia masih menjadi kaedah perniagaan yang baru di kalangan usahawan walaupun industri ini dipromosi dan disokong oleh kerajaan sejak awal tahun 1990-an lagi. Di peringkat global, perniagaan secara francais menjadi pilihan utama usahawan kerana model perniagaannya yang cepat berkembang. Antara syarikat yang terkenal dengan perniagaan secara francais ialah McDonald dan KFC. Di Malaysia walaupun belum banyak produk francais tempatan difrancaiskan ke luar negara, namun beberapa francais tempatan telah berjaya mengembangkan jenama mereka ke luar negara, contohnya, Langkawii Crystall, Marrybrown Fried Chicken, Nelson's dan Sugar Bun.

Program Pembangunan Francais sebagai satu di antara program utama untuk membangunkan usahawan Bumiputera. Sehubungan itu, Program Pembangunan Francais yang diperkenalkan pada tahun 1992, di bawah Unit Pelaksanaan dan Penyelarasan Jabatan Perdana Menteri kini merupakan salah satu sumber ekonomi negara yang mampu memberikan nilai tambah ke arah merealisasikan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Pasaran francais negara kini dianggarkan bernilai RM250 juta dengan kadar pertumbuhannya di tahap 3 peratus setahun. Kadar ini dijangka melonjak kepada 30 peratus setahun menjelang tahun 2020. Tahun 2015 menyaksikan industri francais memberi sumbangan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM 25.6 bilion dan disasarkan meningkat sehingga sekali ganda kepada kepada 4.3 peratus menjelang 2016 daripada 2.2 peratus ketika ini.

Perbadanan Nasional Berhad, telah diberi mandat sebagai agensi di bawah Bahagian Francais dan Vendor, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD) untuk mengatur pelan pembangunan industri francais secara lebih komprehensif. Tujuh strategi utama iaitu promosi, program pakej khas, latihan, pembiayaan, pembangunan produk, jaringan strategik, pembangunan dan penyelidikan turut diperkenalkan oleh pihak kerajaan.

KEPENTINGAN INDUSTRI FRANCAIS TERHADAP PEMBANGUNAN EKONOMI DAN SOSIAL

Industri francais merupakan bidang perniagaan yang sangat baik dan sangat berkembang maju di negara Malaysia. Perkembangan yang baik ini memberi tanda yang positif bahawa ekonomi Malaysia adalah berada di dalam keadaan yang baik dan di samping itu juga ianya dapat memberikan sumbangan yang sangat besar kepada pertumbuhan ekonomi negara. Selain daripada memberikan kepentingan kepada pembagunan ekonomi, industri francais ini juga turut memberi sumbangan kepada pembangunan sosial negara.

Kepentingan Terhadap Pembangunan Ekonomi

Di antara kepentingan-kepentingan yang diberikan oleh industri francais terhadap pembangunan ekonomi adalah seperti:

  1.  Merangsang pertubuhan ekonomi menerusi peningkatan aktiviti keusahawanan;
  2. Membantu dalam pemindahan kepakaran, teknologi dan idea-idea baharu dalam pembangunan ekonomi
  3. Menggalakkan perdagangan antarabangsa menerusi pakej pelantikan francaisi induk oleh francaisor tempatan, sekali gus menyumbang ke arah pemantapan pertukaran mata wang negara
  4. Menyediakan peluang perniagaan kerana perniagaan kecil milik francaisi sangat mudah dan cepat menyumbang kepada pengambilan tenaga kerja.




Kepentingan Terhadap Pembangunan Sosial

Di antara kepentingan-kepentingan yang diberikan oleh industri francais terhadap pembangunan sosial adalah seperti:
  1. Dapat memenuhi keperluan masyarakat iaitu dengan hasil daripada aktiviti urusan penjualan barangan dan perkhidmatan, peniaga akan memperolehi keuntungan manakala pihak pengguna akan memiliki barangan dan perkhidmatan yang dapat memenuhi keperluan dan kehendak mereka.
  2. Perniagaan francais ini juga dapat memberi dan membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat. Pekerjaan adalah sangat diperlukan oleh setiap individu masyarakat kerana ianya merupakan sumber pendapatan kepada masyarakat untuk mereka meneruskan hidup dan menyara kehidupan dan juga keluarga mereka.
  3. Perniagaan francais  akan dapat membantu dan memudahkan lagi individu ataupun organisasi untuk memahami dan mengenal pasti sebarang pergolakan perniagaan semasa. Misalnya, Syarikat A sedang menghadapi masalah kewangan, maka kita boleh mengambil kesempatan ini untuk memiliki syarikat yang berkenaan dengan membeli saham-sahamnya atau tidak.
  4. Masyarakat yang berilmu perniagaan akan memudahkan negara untuk menceburi dalam perniagaan di peringkat antarabangsa atau global. Penguasaan ilmu perniagaan membolehkan peniaga-peniaga negara kita bersaing terutamanya dengan peniaga-peniaga dari negara-negara maju.


TAHAP PEMBANGUNAN INDUSTRI FRANCAIS DI MALAYSIA

Industri francais Malaysia menunjukkan tahap pembangunan yang positif dan memberangsangkan serta mampu bersaing dalam pasaran antarabangsa meskipun industri ini adalah sebuah perniagaan yang mencabar. Beberapa francais tempatan telah berjaya mengembangkan jenama mereka ke luar negara adalah seperti Marry Brown, Nelson dan Secret Recipe Cakes and Cafe. Sehingga berakhir tahun 2015, sebanyak 760 sistem francais yang terdiri daripada pelbagai sektor telah didaftarkan dengan Pejabat Pendaftar Francais KPDNKK. Daripada jumlah tersebut, sejumlah 7,525 perniagaan francaisi telah berjaya diwujudkan. Pada Tahun 2014, sumbangan industri francais kepada keluaran Dalam Negara kasar (KDNK) Malaysia adalah berjumlah RM26.15 bilion atau bersamaan 2.5 peratus daripada KDNK Negara. Penerimaan jenama francais Malaysia di luar Negara juga semakin meningkat iaitu sebanyak 61 jenama francais tempatan diwujudkan dan telah menerokai 56 buah Negara dan mempunyai 2,453 outlet di seluruh dunia. Jumlah itu lebih tinggi berbanding pada tahun 2008 di mana hanya 29 francaisor yang menerokai 31 buah Negara dengan jumlah 174 outlet.  Ini membuktikan bahawa pembangunan industri francais di Malaysia sentiasa menjadi fokus kerajaan dalam usaha membantu usahawan tempatan berkembang melalui sistem francais. Pelbagai inisiatif juga telah diperkenalkan bagi menubuhkan infrastruktur sokongan untuk merancang, melaksana, membangun dan mengawal selia pembangunan francais serta memberikan bantuan dan kemudahan pembiayaan.

Pembangunan industri francais di Malaysia sentiasa menjadi fokus kerajaan dalam usaha membantu usahawan tempatan berkembang melalui sistem francais. Pelbagai inisiatif juga telah diperkenalkan bagi menubuhkan infrastruktur sokongan untuk merancang, melaksana, membangun dan mengawal selia pembangunan francais serta memberikan bantuan dan kemudahan pembiayaan. Produk tempatan terutamanya jenis makanan dan minuman mudah memasuki negara luar kerana jenamanya dan Malaysia adalah sebuah negara Islam. Status halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga diiktiraf dunia dan memberikan kelebihan kepada usahawan francais tempatan untuk menerokai pasaran luar negara. Usahawan francais tempatan perlu berani keluar dari pasaran tempatan kerana pasaran dunia menawarkan potensi pertumbuhan jauh lebih baik apabila berjaya berada dalam pasaran antarabangsa. Kerajaan melalui kementerian dan pelbagai agensi terlibat menganjurkan pelbagai program setiap tahun mempromosikan jenama tempatan di pasaran antarabangsa

SISTEM SOKONGAN OLEH PIHAK KERAJAAN DAN SWASTA INDUSTRI FRANCAIS DI MALAYSIA

Pembangunan industri francais di Malaysia telah mengorak langkah dengan mewujudkan Program Pembangunan Francais (PPF) pada 4 Ogos 1992, di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), Jabatan Perdana Menteri. Antara pelan tindakan di bawah PPF termasuklah menubuhkan Persatuan Francais Malaysia (MFA) pada 18 Januari 1994 dengan tujuan untuk mengawal selia industri ini secara dalaman (self regulatory) dan penggubalan Akta Francais Malaysia 1998.

Seterusnya pada awal tahun 2012, kerajaan mengambil inisiatif pemacu untuk membangunkan industri francais di Malaysia dengan merangka Pelan Induk Pembangunan Francais Nasional (PIPFN) 2012-2016. PIPFN ini merangkumi aspek meningkatkan daya saing francais Malaysia di dalam dan di luar negara, melaksanakan transformasi perniagaan melalui francais, membangunkan kecekapan modal insan serta mengukuhkan ekosistem francais yang lebih dinamik.

Selaras dengan pelaksanaan PIPFN ini, pihak kerajaan telah mempercepatkan proses pendaftaran francais dengan memendekkan tempoh kepada tujuh hari bekerja dengan syarat semua dokumen dan syarat dipenuhi dengan mewujudkan satu sistem atas talian pendaftaran francais iaitu MyFEX. MyFEX direka bertujuan untuk memberikan keselesaan dan memudahcarakan proses permohonan baru lesen francais. Peruntukan juga telah disediakan untuk mempromosikan francais tempatan Malaysia melalui pelbagai program seperti Franchise Malaysia Goes Global, membangun dan mengembangkan francais mikro melalui Francais Komuniti, 1Malaysia Stesen Francais serta menyediakan kemudahan pinjaman khas untuk francais mikro; Skim Pinjaman Kecil Francais.

Pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi & Kepenggunaan KPDNKK menubuhkan Akademi Perbadanan Nasional Berhad (PNS), untuk melahirkan usahawan francais yang mantap ilmu pengetahuannya serta mempunyai kemahiran yang tersendiri. Diantara program dibawah akademi ini adalah Program Latihan Softskill, Program Latihan Francais dan Program Kesedaran yang merangkumi forum dan perkongsian ilmu. PNS berperanan melaksana dan menjadi peneraju dalam membangunkan industri francais di Malaysia dibawah seliaan KPDNKK, termasuklah menyediakan kemudahan pembiayaan. Diantara skim pembiayaan yang ditawarkan oleh PNS adalah skim pembiayaan francais, skim pembiayaan kontrak, skim pembiayaan lisensi, skim pembiayaan franciasor dan skim pembiayaan prafrancais. Selain dari itu, PNS juga turut memberi sokongan dan khidmat nasihat terhadap perniagaan francais termasuk perkongsian ilmu perniagaan dan pengalaman daripada pihak yang telah berjaya bertujuan untuk membantu dan menggalakkan orang ramai untuk menjadi usahawan francais. Perunding boleh membantu dengan menyediakan penyelesaian hujung ke hujung untuk francaisor menukar perniagaan sedia ada bagi memenuhi kriteria ROF untuk menjadi francaisor, membantu menyerahkan pendaftaran francais mereka dan memantau prestasi outlet francaisi untuk tempoh tertentu. Khidmat panel perunding ini digunakan dalam program penukaran francais PPFT, DBFP dan Projek Siap Guna.

CABARAN ATAU HALANGAN YANG DIHADAPI OLEH FRANCAISI DAN FRANCAISOR DI MALAYSIA

Di dalam melaksanakan dan menjalankan perniagaan francais ini, terdapat pelbagai cabaran atau halangan yang perlu ditempuhi dan dihadapi. Di antaranya adalah seperti:

Cabaran Atau Halangan Francaisi

Rajah 2 : Cabaran Atau Halangan Francaisi

Modal Keseluruhan

Kos untuk mendapatkan hak menggunakan jenama dan bantuan dari francaisor adalah tinggi. Di antara kos-kos yang perlu di bayar oleh pihak francaisi adalah seperti berikut:

  • Yuran Francais - Yuran francais adalah dalam satu jumlah yang besar dan tidak akan dikembalikan. Francaisi juga perlu membayar kos lain seperti kos sewa, deposit, pembelian aset dan juga kos pengubahsuaian kedai.
  • Royalti Bulanan - Royalti adalah dibayar berdasarkan peratus jualan bulanan dan francaisi juga perlu membayar royalti walaupun tidak memperolehi keuntungan. Di Malaysia, terdapat isu berkenaan bayaran royalti ini di mana agensi kerajaan iaitu Perbadanan Nasional Berhad (PNS) (badan bertindak untuk francais Malaysia) mengarahkan supaya pembayaran royalti tidak lebih dari 5% jumlah jualan bulanan francaisi.
  • Yuran Pengiklanan - Yuran pengiklan yang dibayar digunakan oleh francaisor untuk mengiklankan jenama produk atau perkhidmatan dan untuk menarik lebih ramai francaisi

Tidak Memberi Kebebasan Kepada Francaisi
Melalui perniagaan francaisi ini, keseragaman adalah perlu dan disebabkan oleh hal ini, maka francaisor akan mengawal perniagaan francaisi dan francaisi perlu mengikut setiap peraturan yang telah ditetapkan. Berikut adalah beberapa perkara berkaitan perjanjian francais:

  1. Pemilihan Lokasi – Setiap lokasi perniagaan akan dipilih dan memerlukan persetujuan oleh francaisor. Francaisor akan melawat dan membaut penelitian awal terlebih dahulu terhadap lokasi yang dicadangkan oleh francaisi dan memberikan pendapatnya semada sesuai atau tidak lokasi tersebut.
  2. Hiasan Dalaman & Konsep Perniagaan - Terdapat francaisor yang akan menukar hiasan dalaman dan konsep perniagaan mengikut musim. Sehubungan dengan itu, kos renovasi dan pengubahsuaian tersebut mungkin tidak mampu untuk ditanggung oleh francaisi. Kebiasaanya, francaisor akan selalu menukar konsep perniagaan, uniform dan sistem komputer.
  3. Penjualan Produk dan Perkhidmatan - Francaisor akan mengawal setiap produk dan perkhidmatan perniagaan francaisi. Jadi, francaisi tidak boleh menjual produk atau perkhidmatan lain selain daripada milik francaisor.
  4. Operasi Perniagaan - Francaisi juga tidak mempunyai kuasa dalam menentukan waktu operasi perniagaan, uniform pekerja, iklan serta promosi dan juga prosedur perniagaan. Harga jualan juga dikawal sehingga menyukarkan francaisi memberi diskaun kepada pelanggan. Pengedar juga perlulah dari pengedar yang diluluskan oleh francaisor.
  5. Hak Wilayah (Territorial Rights) - Kawalan ini bertujuan untuk menggelakkan persaingan denga francaisi lain. Selain itu, ia juga bertujuan untuk menghalang francaisi membuka cawangan lain atau berpindah ke lokasi yang baru. Pihak francaisor juga berhak untuk menghalang pihak francaisi membina laman web sendiri.

Pemilihan Francaisor Perlu Dilakukan Dengan Teliti
Pemilihan francaisor secara teliti adalah sangat perlu dan harus diberi penekanan yang mendalam oleh francaisi. Prospektus yang lengkap perlu ada untuk memberikan penerangan sejelas-jelasnya kepada francaisi tentang latar belakang francaisor, prestasi kewangan, status perundangan, potensi francais dan beberapa maklumat lagi.

Perlu Komitmen Yang Tinggi Daripada Francaisi
Kegagalan akan berlaku berpunca daripada sikap francaisi yang terlalu bergantung kepada francaisor sedangkan untuk berjaya dalam industri itu bukan perkara yang mudah. Francaisi bukan sahaja sekadar perlu mempunyai keupayaan untuk mengeluarkan modal semata-mata sebaliknya perlu belajar dan memahami selok-belok perniagaan yang bakal diceburi. Di antara sikap dan juga sifat lain yang perlu ada untuk seorang francaisi yang ingin berjaya adalah seperti:

  1. Perlu memenuhi pengetahuan dari aspek kewangan, simpanan dan komitmen
  2. Mempunyai kemampuan dari segi mental dan juga fizikal
  3. Memiliki kepercayaan kepada produk
  4. Sentiasa menjalankan penyelidikan
  5. Sentiasa berusaha meningkatkan penguasaan pasaran, memaksimakan keuntungan serta bersaing dengan pesaing terdekat pasaran


Penjualan Produk Yang Tetap Sahaja 
Penglibatan serta penerusan pihak francaisi dalam perniagaan francais adalah tertakluk kepada peraturan dan sistem pengoperasian perniagaan yang telah ditetapkan oleh pihak francaisor. Ini secara tidak langsung akan menyekat tahap daya kreativiti dan inovasi francaisi terutamanya dalam aspek pengendalian perniagaannya.


Penamatan dan pembaharuan kontrak
Kontrak francais akan tamat sekiranya francaisi melanggar perjanjian francais. Kontrak ini sah untuk tempoh masa yang telah dipersetujui dan tiada jaminan atas pembaharuan kontrak.

  1. Penamatan Kontrak - Francaisor boleh menamatkan kontrak sekiranya francaisi gagal membayar royalti, gagal menunjukkan prestasi yang menguntungkan dan lain-lain sebab yang munasabah. Segala pelaburan francaisi akan hilang apabila kontrak tamat. Di Malaysia, setiap perjanjian francais adalah untuk 5 tahun.
  2. Pembaharuan Kontrak - Pembaharuan kontrak tidak berlaku secara aotomatik. Segala terma dan syarat mungkin akan berubah. Antaranya kenaikkan kadar bayaran royalti, membuat pengubahsuaian kedai, menggurangkan hak wilayah dan kawalan atas jualan.


Cabaran  Atau Halangan Francaisor

Rajah 3 : Cabaran Atau Halangan Francaisor

Kos
Untuk membangunkan sebuah sistem francais bukanlah mudah seperti yang dibayangkan. Ianya memerlukan pengggunaan masa yang banyak dan membabitkn kos pengurusan yang sangat tinggi. Secara purata pembangunan sesuatu sistem francais baru akan memakan masa di antara 5 hingga 10 tahun dengan melibatkan kos di sekitar RM200 ribu hingga RM1 juta bergantung kepada jenis produk berkenaan.

Perkhidmatan
Francaisor adalah bertanggungjawab ke atas kewujudan, perkembangan dan daya saing perniagaan francaisi. Francaisor perlu memberikan bantuan kewangan dan khidmat sokongan kepada pihak francaisi untuk seumur hidup perniagaan francais itu dikendalikan oleh francaisi.

Reputasi
Apabila francaisi gagal untuk mematuhi segala prosedur perniagaan sebagaimana yang telah ditetapkan oleh francaisor seperti garis panduan mengenai mutu produk, tentu sekali nilai nama atau reputasi francaisor akan terjejas.

Pemilihan francaisi
Francais adalah satu sistem saling kebergantungan. Meskipun pelantikan francaisi adalah menerusi perjanjian secara kontrak, namun proses pemilihan francaisi adalah sangat kritikal bagi memastikan hanya mereka yang sesuai dan memenuhi keperluaan sahaja dilantik.

Kerahsian
Francaisor bertanggungjawab untuk berkongsi pengalaman serta kepakaran dengan francaisinya. Perkongsian diantara francaisor dan francaisi juga memungkinkan perkongsian rahsia-rahsia perniagaan yang mempunyai risiko peniruan dan kebocoran formula produk.

Penipuan
Pihak francaisor pula mungkin akan menghadapi kesukaran untuk menangani masalah penipuan seperti bayaran royalti, bayaran caj perkhidmatan, peniruan dan kebocoran formula produk dan sebagainya apabila cawangan francais pihak francaisor bertambah dan berkembang pesat.

MASA HADAPAN INDUSTRI FRANCAIS DI MALAYSIA

Masa depan industri francais di Malaysia setakat ini menunjukkan banyak kemajuan yang memberangsangkan. Dengan adanya program kesedaran dan pendedahan yang telah dijalankan oleh pelbagai pihak, masyarakat kini semakin berfikiran terbuka dan faham akan konsep perniagaan francais. Ini secara tidak lansung membantu dalam membangunkan modal insan dalam pemilihan industri francais sebagai pemangkin ekonomi.

Sejak kerajaan memperkenalkan konsep perniagaan secara francais di negara ini pada tahun 1992 yang telah diilhamkan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamed, bilangan syarikat yang melibatkan diri dalam bidang perniagaan secara francais terus meningkat dari semasa ke semasa. Usaha dan komitmen yang diberikan oleh semua penggiat dalam industri francais di negara ini telah mendapat pengktirafan yang sewajarnya daripada Kerajaan. Kerajaan menjangkakan Industri francais pada tahun 2015 akan menyumbang kepada keluaran Dalam Negara kasar (KDNK) sebanyak RM26.8 bilion dan dijangka terus meningkat dengan kerjasama daripada kementerian, PNS dan Persatuan Francais Malaysia (MFA).

Dalam mempertingkatkan industri francais di negara ini, pelbagai usaha perlu dilakukan oleh pelbagai pihak bagi memantapkan industri francais di Malaysia. Antaranya ialah meningkatkan daya saing, melakukan transformasi dalam menjalankan perniagaan, di samping pembangunan modal insan serta koordinasi di antara agensi di bawah KPDNKK seperti PNS dengan Bahagian Pembangunan Francais bersama-sama dengan Persatuan Francais Malaysia (MFA). Sebagai contoh, bagi program pembangunan modal insan, terdapat dua agensi yang melaksanakan program latihan francais iaitu Akademi PNS dan Maktab Koperasi Malaysia.


KESIMPULAN

Sebagai kesimpulannya dapat dijelaskan bahawa perniagaan francais mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara menerusi aktiviti pembangunan usahawan serta pemindahan kepakaran, teknologi dan idea-idea baru. Pertumbuhan rangkaian perniagaan francais juga mampu meningkatkan ekonomi Negara dan menyediakan peluang pekerjaan. Sistem francais juga boleh membantu mewujudkan budaya baru di dalam menjalankan perniagaan dengan penekanan diberikan kepada aspek-aspek disiplin yang tinggi, perkhidmatan pelanggan yang berkualiti, kebersihan dan keseragaman.

Untuk menceburi bdang perniagaan francais ini, francaisi perlu berhati-hati di dalam memilih francaisor dan mempertimbangkan beberapa faktor yang menjadi teras kepada perniagaan ini.  Hubungan yang harmoni di antara francaisor dan francaisi adalah satu keperluan supaya dapat mempertingkatkan produktiviti dan keseragaman produk dapat diselaraskan di setiap cawangannya.

Selain itu, peranan pihak kerajaan juga adalah sangat penting di dalam mengatur semula perlaksanaan dasar industri francais dan memberikan segala inisiatif dan kemudahan kepada pihak francais di dalam sama-sama berusaha dengan kerajaan untuk membina industry yang kukuh dan juga berdaya saing serta menjadi penanda aras baru dalam dunia francais. Di samping itu, penggiat industri francais wajar menitik beratkan amalan perniagaan yang lebih beretika sama ada dengan francaisor, francaisi dan lebih-lebih lagi pelanggan atau pengguna produk mereka agar Francais Malaysia akan lebih dipandang hebat di mata dunia.








RUJUKAN



4 comments: